Jumaat, 16 Disember 2011

Isu Lapangan Terbang Haram : Pusat Diminta Beri Kerjasama Tangani

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor menggesa kerajaan persekutuan memberi kerjasama dalam menyelesaikan isu kewujudan 'sebuah lapangan haram' - Bernam River Airfield di tanah milik Yayasan Selangor di Ulu Bernam.

Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata gesaan ini dilakukan kerana secara lazimnya operasi sesebuah lapangan terbang perlu penglibatan pihak berkuasa seperti polis, kastam dan imigresen.

"Pihak Persekutuan perlu campur tangan dalam operasi seperti ini, ianya perlu penglibatan pihak polis, mana-mana lapangan terbang perlu ada polis dan kastam".

"Dari segi keselamatan pihak polis perlu ada, kerana saya bimbang sesuatu yang negatif akan berlaku," katanya.

Isu 'Lapangan terbang haram' - Bernam River Airfield ini didedahkan Khasim Abdul Aziz semasa sidang DUN Selangor baru-baru ini apabila Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor (ABAS) membuat lawatan ke Ulu Bernam pada Oktober lepas.

Menurut ABAS, lapangan terbang tersebut berada di atas tanah milik Yayasan Selangor di Geran hakmilik bernombor HSD 45128, No Pt 2924 yang keluasan asal 225 ekar.

ABAS menjelaskan bahawa kerajaan BN memberi tanah tersebut kepada Syarikat Aviation Development Sdn Bhd (ADC) pada tahun 2006 seluas 217 ekar. Walau bagaimanapun tanah itu masih berstatus tanah dusun dan bukan untuk kegunaan lapangan terbang.

Kerajaan BN memberi tanah tersebut kepada Syarikat Aviation Development Sdn Bhd (ADC) pada tahun 2006 seluas 217 ekar. Walau bagaimanapun tanah itu masih berstatus tanah dusun dan bukan untuk kegunaan lapangan terbang

"Dasar kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional) melihat perkara seumpama ini bukan satu kesalahan, ia satu perkara yang biasa, tetapi apabila perubahan pentadbiran berlaku, kami (Pakatan Rakyat) menerima beberapa maklumat dari pelbagai sumber, ekoran itu kami melakukan satu lawatan ke tempat ini," katanya.

Mengulas lanjut, Khasim menjelaskan tata kelola seumpama ini tidak seharusnya berlaku ke atas aset kerajaan.

Khasim menambah ekoran pendedahan ini, pihaknya akan memantau aktiviti Bernam River Airfield dari masa ke semasa.

"Dari masa ke semasa kita akan pantau perkara ini, kita juga akan mendapatkan perkembangan daripada pihak pejabat daerah kerana aktiviti ini sebenarnya tidak boleh beroperasi.

"Lawatan yang akan datang ini kita akan bawa media untuk mendedahkan perkara ini," katanya.


*Sumber Selangor Kini 2 - 9 Disember 2011, 6 13 Muharram 1433, m/s 16

0 comments: