Selasa, 27 Disember 2011

Naik Taraf Pendidikan SAR


BATU CAVES - Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan sebanyak RM6 juta untuk diagihkan kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tujuan menaik taraf infrastruktur serta kemudahan pendidikan sekolah-sekolah berkenaan.

Peruntukan fasa kedua ini merupakan antara langkah yang diambil bagi memantapkan visi pendidikan, selain meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru dan pelajar.

"Selain menyerahkan cek, juga untuk melihat secara lebih dekat perkembangan sekolah yang menerima bantuan, bagi memberi peluang kepada mereka membuat aduan sekiranya ada kerosakan atau keperluan lain."

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata demikian selepas merasmikan program bantuan pendidikan fasa dua di Sekolah Agama Rakyat (KAFAI) Al-Humaira' Kampung Nakhoda di sini.

Ini kerana untuk menjadikan Selangor sebagai Hab Ilmuwan, perlu direalisasikan melalui penyediaan kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif

- DR YUNUS HAIRI

Tambah beliau lagi, dalam usaha menjadikan Selangor, Negeri Maju, Idaman, Sejahtera dan Berkebajikan, perlu dilahirkan modal insan yang berkualiti bukan sahaja dari sudut intelektual, malah juga spiritual.

"Ini kerana untuk menjadikan Selangor Hab Ilmuwan, perlu direalisasikan melalui penyediaan kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang.

Pada fasa pertama, sebanyak 121 buah sekolah menerima bantuan pendidikan berjumlah RM2, 765, 000.00. Manakala pada fasa kedua, permohonan sebanyak 134 buah sekolah telah diluluskan dan akan menerima bantuan secara 'direct grant' daripada kerajaan negeri berjumlah RM2, 114, 000.00

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

*Sumber: Selangor Kini 9-16 Disember 2011

0 comments: